Isu Buah Tembikai Wangi Yang Telah Meragut 4 Nyawa Akibat Dicemari Bakteria Listeria.

Kenyataan Media

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan akhbar bertajuk “Three Australians die, more sick in Listeria outbreak tied to melons” yang disiarkan melalui laman sesawang The Star Online pada 3 Mac 2018. Akhbar tersebut melaporkan tiga (3) kematian dan 12 orang lagi telah jatuh sakit di Sydney, Australia akibat memakan rockmelon yang telah dicemari oleh bakteria Listeria monocytogenes.

Bakteria Listeria terdapat secara meluas di persekitaran termasuk dalam tanah dan air. Makanan yang mengandungi bakteria Listeria tidak menyebabkan penyakit pada kebanyakan orang, tetapi bagi kumpulan berisiko tinggi ia boleh mengakibatkan listeriosisyang boleh menjadi serius atau membawa kematian. Kumpulan berisiko tinggi termasuk bayi, warga emas, wanita hamil dan individu yang mempunyai sistem imun yang lemah (immunocompromised). Listeriosis boleh menyebabkan demam, sakit otot, loya dan kadang kala cirit birit.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan bekerjasama dengan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia berkaitan isu ini. Menurut pihak berkuasa Australia, isu ini hanya melibatkan pencemaran listeria dalam buah rockmelon dari satu ladang di Nericon, New South Wales, Australia. Ladang berkenaan secara sukarela telah menghentikan pengeluarannya pada 23 Februari 2018. Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia juga telah mengesahkan bahawa pengeksportan rockmelon selepas 1 Mac 2018 adalah selamat dan tidak terlibat dengan isu ini.




KKM telah mengenalpasti pengimport yang mengimport rockmelon dari ladang terbabit sebelum 1 Mac 2018 dan menyita rockmelon yang terdapat di premis pengimport. Produk tersebut hanya akan dilepas sitaan sekiranya hasil analisis mendapati produk tersebut tidak tercemar dengan bakteria Listeria monocytogenes. Di samping itu, pengimport berkaitan sedang memanggil balik (recall) secara sukarela rockmelon tersebut dari pasaran.

Sehingga kini, tiada kes listeriosis di laporkan berlaku di Malaysia kerana memakan rockmelon.

Semua makanan yang diimport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Adalah menjadi tanggungjawab pihak terlibat seperti pengimport, agen, penjual dan sebagainya untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan.

Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak yang terlibat mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.
 
Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia FB.
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==