Padah Viral Tak Tentu Pasal, Suami Mangsa Seorang Peguam Ambil Tindakan Undang-Undang.

Oleh : Mohd Sukeri Muhammad
Assalamualaikum Tuan Admin KUTERER;
Pertamanya saya mohon maaf dan mohon izin untuk menulis posting ini di dalam bahasa Melayu standard dan bukannya dalam loghat Terengganu bagi mengelakkan kekeliruan makna memandangkan posting saya ini akan membawa kesan dari sudut perundangan dan juga sebagai pedoman serta panduan kepada Netizen-Netizen lain di dalam KUTERER yang saya hormati ini.
Saya adalah seorang peguam yang mengamal di Terengganu dan isteri saya bekerja di Maybank Jalan Sultan Ismail. Sejak berpuluh tahun yang lalu kami sama-sama mencari rezeki yang halal untuk kesinambungan kehidupan dan membesarkan anak-anak kami tanpa kami mempunyai apa-apa niat tidak baik kepada orang lain.
Kelmarin pada 26.3.2018, isteri saya ditunjukkan kepada satu posting di dalam portal web Facebook KUTERER ini oleh rakan-rakan sepejabat beliau. Pada mulanya rakan-rakan beliau tidak tergamak untuk menunjukkan posting tersebut kerana bahasa dan gaya penulisan yang tidak sepatutnya dibaca oleh isteri saya. Begitulah kesan posting tersebut terhadap rakan-rakan isteri saya.
Isteri saya bekerja di kaunter pertanyaan Maybank Jalan Sultan Ismail bersama dua lagi rakan beliau dan hanya tiga orang kakitangan wanita Maybank ini sahaja yang layak untuk menjaga kaunter pertanyaan kerana mereka telah diberikan kursus yang lengkap bagi menjaga mutu perkhidmatan dan nama baik Maybank kepada semua pelanggan mereka.

Di dalam posting tersebut, di sebutkan bahawa Puan N bertanya tentang kakitangan kaunter pertanyaan Maybank Jalan Sultan Ismail dengan diskripsi fizikal bersifat penghinaan. Antara 3 kakitangan tersebut, hanya isteri saya yang terjurus ke arah diskripsi tersebut dan walaupun tanpa menyebut nama ianya bersifat khusus dan spesifik.
Nyata hasrat Puan N supaya tuan punya diri yang di hina, di caci, di maki, di fitnah dan di ugut membaca posting Puan telah dimakbulkan Tuhan. Isteri saya akhirnya di tunjukkan dengan Posting Puan N oleh rakan-rakan sepejabatnya yang bersimpati.
Kepada Puan N;
Ingin saya menjelaskan beberapa perkara bagi pihak isteri saya iaitu “makcik tua gemuk yang otaknya terletak di bahagian yang Puan katakan itu”.
Isteri saya hanyalah kakitangan sektor perbankan yang mesti mematuhi setiap arahan dan polisi yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan Maybank. Isteri saya bukanlah pemilik saham terbesar di dalam bank yang beliau bertugas. Adalah menjadi polisi terkini pihak Maybank bahawa setiap permohonan untuk mendapatkan Penyata Akaun Bank perlu di hantar ke ibupejabat Maybank di Kuala Lumpur dan perlu mendapatkan pengesahan daripada pegawai bank khusus sebelum Penyata tersebut boleh diberikan kepada Pelanggan. Prosedur ini akan memakan masa antara 14 hari hingga ke sebulan melainkan terdapatnya permintaan daripada Pihak Polis Di Raja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Lembaga Hasil di Dalam Negeri atau daripada pihak Mahkamah yang membolehkan pegawai bank mecetak penyata akaun dalam tempoh tertentu dan di cetak dicawangan yang terlibat sahaja. Inilah yang telah diterangkan oleh kakitangan kaunter pertanyaan kepada setiap pengguna yang bertanya tentang cetakan penyata akaun. Prosedur ini langsung tidak ada kaitan dengan bentuk fizikal kakitangan yang menerangkan perkara tersebut. Mengapa perlu Puan memberikan penghinaan sedemikian rupa?
Adalah menjadi kewajipan kepada semua kakitangan yang bertugas di kaunter pertanyaan untuk menasihatkan pelanggan supaya mendaftar dengan perbankan internet iaitu Maybank2u.com kerana dengan mempunyai akses kepada perbankan internet, pelanggan boleh mencetak penyata akaun bank beliau dengan tempoh tidak sampai satu minit, di mana jua dan pada bila-bila masa tanpa perlu berbalah dengan pegawai penguatkuasa MBKT yang tidak membenarkan anda ‘parking’ kereta mewah anda di hadapan bank pada waktu puncak. Nasihat ini telah disampaikan kepada semua pelanggan Maybank. Mungkin dengan terdengarnya jangka waktu sebulan untuk mencetak penyata, terus semua nasihat menjadi angin semilir yang berhembus di tepi telinga.
Ironinya, Puan N telah sanggup bersusah payah menghubungi kakitangan Maybank Islamic cawangan Jalan Air Jernih dan diberitahu bahawa cetakan penyata akaun boleh dibuat dalam masa sehari. Kami akan memohon supaya nama kakitangan tersebut didedahkan kerana nyata ianya melanggar polisi Maybank. Kenapa tidak terus menghubungi kakitangan di Maybank Jalan Sultan Ismail kerana akaun Puan atau Akaun Suami Puan dibuka dan diurustadbir oleh Maybank Jalan Sultan Ismail dan hanya bank cawangan tersebut sahaja yang dibenarkan untuk mencetak penyata akaun bank milik Puan atau suami Puan.
Mengapa perlu membuat ugutan berunsur jenayah dan mengapa perlu membuat fitnah bahawa isteri saya cuba membuat representasi yang salah kepada pelanggan kerana beliau malas bekerja?
Bekerja di bahagian ‘customer service’ ini bukanlah satu tugas yang mudah kerana kakitangan harus berhadapan dengan beratus pelanggan dengan seribu karenah selain terpaksa berkejar ke sana sini tanpa dapat duduk kerana melayan kehendak pelanggan.
Setiap kali saya menjemput isteri saya pulang di kala matahari hampir terbenam dan kadangkala sehingga malam, beliau akan terus tersandar dan tertidur keletihan akibat beban kerja yang sangat ‘stressful’ tetapi beliau tidak pernah bersungut melainkan berbicara tentang kehidupan dan anak-anak. Untuk apa isteri saya di lontarkan dengan kata-kata penghinaan sedemikian rupa?
Setiap warganegara Malaysia adalah tertakluk kepada undang-undang dan tiada pengecualian.
Posting Puan N mengandungi kata-kata fitnah yang amat memberi kesan kepada kerjaya isteri saya. Posting Puan N juga mengandungi kata-kata bersifat ugutan jenayah yang menjadikan isteri saya takut serta mengalami tekanan perasaan.
Selain itu, kata-kata Puan N di dalam posting tersebut juga mengandungi kata-kata hinaan, makian, cacian dan pandangan buruk terhadap isteri saya yang telah disebarkan kepada 89,800 orang ahli portal web KUTERER yang membacanya.
Pihak kami akan membuat laporan polis di dalam tempoh terdekat bagi kata-kata yang mengandungi unsur ugutan sebagaimana peruntukan Seksyen 506 Kanun Kesiksaan. Pihak kami juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk kata-kata nista yang keterlaluan sehingga menguris hati dan perasaan isteri saya tanpa boleh diperbaiki lagi bak frasa Inggeris yang menyatakan ‘damage has been done’.
Pihak kami juga akan memulakan prosiding sivil di bawah Akta Fitnah 1957 ke atas Puan atas kata-kata fitnah yang dilemparkan ke atas isteri saya yang menjejaskan penilaian prestasi kerja isteri saya yang menjadi prosedur wajib penilaian kakitangan Maybank setiap tahun.
Untuk makluman, adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM98) sekiranya seseorang yang menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar mewujudkan apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau menganggu orang lain.
Semoga menjadi pedoman dan panduan kepada netizen-netizen yang lain di dalam menulis posting di dalam mana-mana portal internet.
Sekian, terima kasih.
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==